Brahmin mengikut kitab suci Veda

Puruṣa Sukta

Rujukan terawal yang boleh jadi merujuk kepada kelompok ini sebagai salah satu kelompok sosial boleh dikesan dari Rgveda. Ia berlaku sekali dalam bacaan mantra Puruṣa Sukta. Stephanie Jamison dan Joel Brereton, profesor bahasa Sanskrit dan pengajian keagamaan menyatakan bahawa, "tiada sebarang bukti dalam Rgveda mengenai sistem kasta yang rumit dan berlapis-lapis", dan "sistem varna ini nampaknya berakar umbi dari Rgveda, dan lebih merujuk kepada ciri masyarakat ideal berbanding dengan realiti sosial". 

Sutra-Sutra Srauta

Sastra-sastra purba menggambarkan mengenai upacara yajña masyarakat yang menganuti ajaran Veda itu dengan menyebut tentang empat atau lima jenis pedanda. Mereka dikenali sebagai:
  • Hotar, membaca sloka-sloka dan mantra dari Rgveda;
  • Adharvayu, pembantu pedanda yang bertanggungjawab dalam persediaan upacara pemujaan seperti mengukur tanah dan membangunkan sanggar seperti yang diajarkan oleh Yajurveda. Mereka menyediakan sesaji juga untuk devata.
  • Udgatar, yang bertanggungjawab dalam bunyian atau saman yang diajarkan dalam Samaveda. Sama seperti hotar, kelompok ini akan membacakan mantra pada kepala upacara dan membacakan restu untuk upacara.
  • Brahmin atau ṛtvija, brahmin membacakan bacaan Atharvaveda manakala rtvija pula menjadi ketua pedanda yang bertugas.  
Brahmin dan Tradisi Keluar Varna

Istilah Brahmin dalam sastra-sastra Hindu memberikan gambaran bahawa seseorang dari kelompok ini adalah orang yang baik, lurus dan bukan hanya bertindak sebagai pendita. Sastra-sastra Buddha dan Brahmin menurut kenyataan oleh Patrick Olivelle, berulang kali mentakrifkan "Brahmin" ini sebagai sejenis kualiti jati diri. Ia bukan istilah yang merujuk kepada jati kelahiran seseorang. Nilai dan sikap ini diraikan semasa tahap Sannyasa dalam kehidupan seseorang atau tahak kehidupan mencapai kerohanian. Olivelle menyebut bahawa Brahmin ini merupakan kelas sosial yang darinya terbit orang-orang zahid.