Konsep Trimurti


Konsep Trimurti hanya muncul dalam sastera Hindu dalam separuh kedua abad pertama sebelum masihi. Buah fikiran ini dikaitkan dengan Brahma, Visnu dan Siva yang memainkan peranan dalam hal-ehwal jagat raya. Walau bagaimanapun, bukan tiga ini sahaja yang tersebut dalam sastera agama Hindu. Terdapat juga Tridevi atau tiga dewi terdiri daripada Saraswati, Laksmi dan Durga dalam sastera Devi Mahatmya. Dewi-dewi ini diberikan keutamaan dalam tradisi Sakta yang menyebut bahawa kesaktian dewi-dewi ini yang memperkasa dewata Brahma, Visnu dan Siva. Pada pandangan mereka, Dewi itu adalah Brahman.

Trimurti dari unsur alam yang diformulasikan sebagai dewata dalam sastera-sastera India purba adalah seperti Surya (matahari) yang mewakili pencipta, Apo (air) sebagai pemelihara dan Agni (api) sebagai pemusnah. Bentuk lain pula adalah seperti Prana (nyawa) sebagai pencipta, Bhojana (makanan) sebagai pemelihara dan Kala (ajal) sebagai pemusnah.

Jan Gonda menyebut bahawa semua unsur-unsur itu dikelompokkan sekali tanpa membentuk sebarang Trimurti namun dalam kebanyakan masa dipersembahkan sebagai setara, satu kesatuan dan jelmaan dari Brahman Yang Maha Esa.

Dalam purana-purana, sebagai contoh, buah fikiran tiga lipatan hipostatisasi ini diungkapkan seperti berikut:
"Mereka (Brahma, Visnu dan Siva) wujud melalui sesama sendiri, saling menyokong sesama sendiri, mereka itu sebahagian daripada masing-masing, mereka tidak terpisah dan tidak pernah meninggalkan sesama sendiri" Vayu Purana, 5.17
Trimurti muncul pertama kalinya dalam Maitrayaniya Upanishad yang menggunapakai prinsip Triguna iaitu ciri semulajadi, kecenderungan dan tenaga dalaman yang terdapat dalam setiap makhluk dan mata benda. Tiga prinsip ini mengimbangi dan juga merubah individu serta dunia ini.

Dalam sastera purana zaman pertengahan, konsep Trimurti ini muncul dalam pelbagai konteks iaitu dari konsep upacara sampai kepada konsep rohaniah. Bhagavadgita dalam ayat 9.18, 10.21-23 dan 11.15 menekankan bahawa Trimurti ini adalah jelmaan Brahman Yang Maha Esa seperti yang disabdakan oleh Krsna sendiri bahawa baginda itu adalah Brahman. Bailey mencadangkan cetera-cetera dari sastera agama itu "bukanlah pengaruh atau perkara penting" dalam tradisi Hindu. Sebaliknya, ideologi atau buah fikiran serta konsep rohaninya yang penting dan berkembang di atas asasnya sendiri.