Navarātri

Navarātri membawa maksud sembilan malam. Ia adalah perayaan 10 hari yang dirayakan dalam musim luruh setiap tahun. Perayaan ini dirayakan untuk pelbagai sebab dan cara ia dirayakan juga berbeza mengikut rantau dalam benua India dan kepulauan India.


Pada teorinya, terdapat empat Navarātri yang bermusim. Walau bagaimanapun, pada amalinya, perayaan Sharad Navarātri merupakan perayaan pasca monsun dalam musim luruh yang paling utama sekali dirayakan. Ia dirayakan bagi memberi penghormatan kepada Dewi Durga. Perayaan ini dirayakan pada separuh bulan terang dalam bulan Asvin. Biasanya ia jatuh dalam bulan September atau Oktober. Untuk tahun 2017, perayaan ini bermula pada 27 September 2017.

Di sebelah Timur Indian dan Timur Laut India, pemujaan dewi Durga sering dijalankan dalam perayaan ini. Pemujaan dijalankan sebagai tanda peringatan kepada kemenangan dewi Durga menentang asura kerbau serta mengembalikan keseimbangan dharma. Di rantau Utara India dan Barat India, perayaan ini dikaitkan dengan Rāma Lila dan Dussehra yang dirayakan sebagai tanda peringatan bagi kejayaan Śrī Rāma menentang asura Ravaṇa. Di Selatan India, kemenangan dewa-dewa yang berlainan seperti Śrī Rāma dan dewi Saraswati diperingati. Dalam kebanyakan hal, tema yang selari dalam perayaan ini adalah kemenangan Kebaikan menewaskan Kejahatan dalam peperangan alam ghaib. Ceritera ini semua disesuaikan dengan bahagian kitab-kitab yang terkenal di rantau-rantau tersebut seperti Ramayana atau Devi Mahatmya.

Perayaan ini turut memuatkan satu siri aktiviti seperti hiasan pentas, bacaan agama, ceritera dalam bentuk lakonan dan bacaan kitab suci. Sembilan hari itu juga merupakan peristiwa musim menuai dan kebudayaan utama bagi penduduk. Terdapat pertandingan rekacipta dan juga lakonan pandal, lawatan keluarga ke pandal dan juga tarian serta nyanyian klasik.

Hari terakhir dikenali sebagai Vijāyadaśami atau Dussehra. Ketika itu rupa-rupa dewata akan direndam dalam air seperti di sungai atau laut. Patung-patung yang menjadi lambang kejahatan juga dibakar dengan bunga api bagi menandakan pemusnahan kejahatan. Perayaan ini juga menjadi pemula bagi salah satu perayaan utama dalam agama orang Hindu iaitu, Dipavali. Perayaan itu akan dirayakan 20 hari selepas Vijāyadaśami.

Pic: Durga Puja Story in Bengal - Uma Visits Her Parents; Jaipur Moorti Mahal