Ceritera Raja Chitrabhanu

Suatu ketika dahulu, raja Chitrabhanu dari wangsa Iksvaku, yang memerintah seluruh Jambudvipa, menjalani tapa bersama dengan permaisuri baginda. Hari itu adalah hari jatuhnya peristiwa Mahā Śivaratri. i Atavakra pun turun untuk melawat istana baginda raja. 

Kelahiran Lampau Raja Chitrabhanu

i tersebut bertanya kepada raja itu mengenai tujuan tapanya itu. Raja Chitrabhanu pun menerangkan bahawa baginda telah menerima kurnia untuk mengingati peristiwa-peristiwa lampau dalam kelahiran sebelum baginda, dan dalam kehidupan sebelumnya itu, baginda adalah seorang pemburu di kota Varanasi dengan nama Susvara. Kehidupan Susvara itu cumalah membunuh dan menjual haiwan dan burung-burung. Hari sebelum bulan baru, ketika melilau-lilau di hutan, mencari haiwan buruan, beliau ternampak seekor rusa. Tiba-tiba beliau ternampak keluarga rusa tersebut dan kesedihan mereka akan kematian yang akan menimpa rusa tersebut. Maka, beliau pun melepaskan rusa tersebut dari bidikan panahnya. 

Beliau menunggu sehingga menjelma malam pun, beliau tidaklah mendapat sebarang hasil buruan. Maka, beliau pun naik ke pokok untuk tidur. Pokok yang dipanjat oleh beliau itu, adalah sebatang pohon Vilva. Bekas air beliau sudah pun kehabisan air. Beliau lapar dan juga dahaga. Seksaan kelaparan dan dahaga menyebabkan beliau terus terjaga sepanjang malam, tidak boleh tidur. Beliau pun terfikirkan anak dan isteri beliau yang kebuluran menunggu kepulangannya. Masa terus berlalu, beliau memetik daun Vilva dan menjatuhkannya ke tanah.

Keesokan harinya, beliau pun pulang ke rumah dan membeli sedikit makanan untuk dirinya sendiri dan keluarganya. Pada saat beliau ingin berbuka puasa, lantas datang seorang asing mengemis makanan darinya. Beliau pun memberi sembah makanan tersebut kepada pengemis itu, dan hanya makan sisa-sisa selepasnya sahaja. 

Pada saat menjelma kematian beliau, beliau ternampak dua pesuruh Betara Śiva yang dihantar untuk membawa rohnya ke Sorga Betara Śiva. Beliau baru menyedari bahawa telah menjalankan pemujaan Betara
Śiva tanpa disedari dan kebetulan pula malam itu adalah malam Maha Śiva Ratri. Pesuruh-pesuruh ghaib tersebut memberitahu beliau bahawa di bawah pohon Vilva tempat beliau tidur itu, sebenarnya ada lambang Linga. Dedaunan Vilva yang ditabur oleh beliau itu mengenai lambang tersebut seperti upacara pemujaan Betara Śiva. Air dari bekas minum beliau pula mengenai linga tersebut sehingga habis dan beliau berpuasa siang dan malam. Oleh itu, perbuatan beliau itu dikira sebagai pemujaan untuk Betara Śiva.

Sebagai balasan atas perbuatan upacara yang tidak disedarinya itu, Suvara pun diambil untuk berdiam di Sorga Betara Śiva untuk tempoh yang lama sebelum dijelmakan semula di Maya sebagai Chitrabhanu. Ceritera ini turut dirakamkan dalam sastera Garuda Purana. 

Śiva Ratri ertinya adalah 'Malam Śiva'. Komponen penting dalam acara keagamaan pada malam tersebut adalah:
  • Berpuasa dari makan dan minum untuk tempoh 24 jam.
  • Berjaga sepanjang malam.
  • Setiap penganut yang berbakti akan bertapa dalam pada malam tersebut sambil berpuasa.
  • Memberi sembah bunga-bungaan, daun Vilvam, dan lain-lain pada lambang Lingam.
  • Mencurah susu pada lambang Lingam selain susu masam, minyak sapi, gula, air kelapa, mentega dan air mawar.  
Perbicaraan antara Betara Śiva dan Devi Parvati
 
Apabila penciptaan lengkap, Betara Śiva dan Devi Parvati pun turun seraya berdiam di puncak Kailaśa. Devi Parvati pun memberi sembah bertanya kepada baginda Betara Śiva, "Wahai Svami, yang mana satu upacara yang apabila dijalankan untuk memberi penghormatan yang menyenangkan mu?" Jawab baginda, "Malam ke-13 bulan baru, bulan gelap, bulan Magha. Tithi itu adalah kesukaanku. Pengikutku memberi kesukaan besar bagiku dengan hanya berpuasa sahaja berbanding dengan memberi persembahan bersuci, bunga, manisan dan colok wangian. Wahai adindaku, dengarlah dikau akan ceritera yang akan memberi buah fikiran tentang kebesaran dan kesaktian upacara ini."

Betara Śiva pun bersabda, "Suatu masa dulu, hiduplah di pekan Varanasi seorang pemburu. Beliau pulang dari hutan suatu petang dengan buruan seekor burung. Tubuh beliau keletihan lalu beliau duduk di akar sebatang pohon untuk berehat. Kemudian, beliau pun tertidur. Apabila terjaga dari tidur, sekelilingnya sudah pun gelap. Malam itu pula adalah malam Betara Śiva. Pemburu itu langsung tidak mengetahuinya. Beliau pun memanjat pohon itu, mengikat ikatan burung-burung hasil buruan di dahan pohon dan duduk di dahan besar sambil menunggu subuh. Pohon itu kebetulan adalah pohon kegemaran aku."

"Di bawah pohon tersebut ada sebiji lambang Lingam. Beliau pun memetik beberapa helai daun dan menjatuhkannya ke bawah, dan ia terkena lambang tersebut. Embun pagi menyentuh tubuhnya. Aku benar-benar tertarik dengan pemberian sembah dari pemburu tersebut. Subuh hari menjelma, pemburu pun pulang ke rumahnya." 

"Beberapa lama masa berlalu, tibalah ajal si pemburu. Pesuruh-pesuruh baginda Yamaraja pun tiba di tempat nazak pemburu tersebut untuk membawanya ke Yamaloka. Aku turut menghantar pesuruh-pesuruh aku ke pembaringan pemburu tersebut untuk mengambilnya kepadaku. Lalu, berlakulah pertarungan antara pesuruh-pesuruh aku dengan pesuruh-pesuruh baginda Yamaraja. Pesuruh-pesuruh Yamaraja dikalahkan dengan mudah. Mereka lalu membawa pengaduan kepada Yamaraja. Yamaraja sendiri kemudian naik ke kediamanku untuk menjemput roh si pemburu. Lembu Nandi kemudian menceriterakan mengenai hal yang dilalui oleh pemburu itu kepada Yamaraja, mengenai malam Siva dan juga kecintaanku kepada roh pemburu tersebut. Mendengar kisah tersebut, Yamaraja pun kembali ke alamnya dan bersumpah untuk tidak menyentuh pengikut-pengikutku tanpa kebenaran dariku lagi." 

"Pemburu itu mampu menjejaki alamku ini dan menghalang Yamaraja dari mendekatinya hanya dengan berpuasa ringkas sahaja sambil memberi sembahan daun Vilva. Walaupun ia berlaku secara kebetulan, namun pada malam itu adalah malamku maka aku memberi kelepasan baginya."
 
Devi Parvati begitu terkesima dengan keagungan sabda Svaminya, lantas membawa kisah tersebut untuk diceriterakan kepada para devata di kayangan. Seterusnya cerita tersebut berlegar-legar sehingga turun ke alam dunia ini kepada para putera raja yang memerintah bumi. Begitulah caranya, cerita ini tersebar ke seluruh dunia.