Pengenalan Mahā Śiva Ratri

Perayaan ini dirayakan pada Krna Paka Chaturdaśi menurut penanggalan Hindu, pada bulan Māgha, berdasarkan pengiraan bulan Amavasya. Jika didasarkan menurut pengiraan bulan Pūrnima pula, ia jatuh pada bulan Phalguna, Krna Paka Chaturdaśi iaitu sekitar bulan Februari atau Mac dalam penanggalan orang Barat. Daripada lima kali perayaan Śiva Ratri dalam setahun, Mahā Śiva Ratri adalah yang paling suci dan agung.

Umumnya, perayaan ini dirayakan dengan memberi persembahan daun Majapahit atau daun Vilvam kepada Betara Śiva, berpuasa sepanjang hari atau pun menjalani jagaran (berjaga malam). Sepanjang hari tersebut, penganut akan membaca japa mantra, O Nama Śivāya. Amalan-amalan kebajikan dilaksanakan untuk mengumpul pahala menerusi pengamalan yoga dan bertapa bhrata, supaya kehidupan di masa depan lebih baik dan segera pula mencapai kebaikan.

Pada hari ini, kedudukan bintang di hemisfera Utara bertindak sebagai perintis penting bagi membantu seseorang itu untuk meningkatkan tenaga sakti kerohaniannya dengan lebih mudah. Kesaktian mantra-mantra penting seperti Maha Mrtyutanjaya pun meningkat mendadak pada malam hari ini. Pada malam itu juga, Nishita Kala menjadi masa yang terbaik untuk menjalankan pemujaan Betara Śiva, kerana ketika tersebut adalah waktu baginda menjelma di bumi dalam rupa Linga (jaluran bercahaya). Pada hari ini, upacara Lingodbhava Puja pun dijalankan di pura-pura Betara Śiva.