Betara Śiva

Betara Śiva merupakan salah satu daripada dewata agung dalam agama orang Hindu. Baginda merupakan dewa agung bagi penganut Śaiva, iaitu salah satu aliran daripada tiga aliran utama hari ini.

Śiva adalah "Yang Maha Mengubah" dalam Trimurti yang turut mengandungi Brahma dan Vishnu. Dalam tradisi Śaiva, baginda Betara Śiva yang mencetuskan, melindungi dan mengubah alam semesta ini ke rupa yang seterusnya. Dalam tradisi dewi Śakti pula, baginda dewi lah yang digambarkan sebagai yang utama manakala baginda Betara Śiva dipuja bersama dengan Vishnu dan Brahma.

Dewi dijelaskan sebagai tenaga dan kuasa pencetus atau Śakti bagi para dewata. Dewi Parvati adalah teman setara dengan baginda Betara Śiva. Betara Śiva juga merupakan salah satu dewata yang dipuja dalam pemujaan Panchayatana oleh tradisi Smarta. 

Pada tahap yang tertinggi, Betara Śiva adalah Brahman yang tiada rupa, tiada had, tidak berubah dan meliputi semuanya. Baginda jugalah Atman atau Jiwa bagi alam semesta ini. Baginda digambarkan dalam pelbagai rupa seperti rupa belas kasihan dan rupa yang garang. Dalam rupa belas kasihnya, baginda digambarkan sebagai seorang Yogi yang hidup dengan cara zuhud sambil berdiam di Gunung Kailasa atau bergrihasta bersama isteri baginda, dewi Parvati serta anakanda bahinda yang berdua, Ganesa dan Kartikei. Dalam rupa garang, baginda selalu digambarkan membantai asura. Baginda juga dikenali sebagai Adiyogi, pelindung yoga, semadhi dan sastera. 

Baginda dirupakan bermata tiga dengan mata ketiga baginda itu terletak di dahi, ular mengelilingi lehernya, bulan sabit dan sungai Ganga mengalir dari ikatan rambut baginda, trisula sebagai senjata dan memegang damaru. Pemujaan tanpa rupa baginda dijalankan menggunakan Lingam. Baginda dipuja di merata-rata di India, Nepal, Sri Lanka, Indonesia, Malaysia dan Singapura.