Orang Brahmin di Asia Tenggara

Sesetengah Brahmin membentuk golongan berpengaruh dalam kerajaan Burma pada abad ke-18 dan ke-19 M. Brahmin di istana digelar sebagai Punna. Semasa zaman dinasti Konbaung, raja-raja yang menganuti ajaran Buddha itu bergantung kepada Brahmin untuk mengesahkan kenaikan mereka dalam upacara devaraja dan menyelesaikan permasalahan politik. Peranan Brahmin dalam kerajaan Buddha, berlaku disebabkan oleh sastera Hindu memberi panduan yang lebih jelas mengenai upacara sosial dan politik dalam kerajaan sedangkan sastera Buddha tidak mempunyai rujukan sebegini (Leider).

Brahmin juga dirujuk untuk penyebaran, kemajuan dan penyelenggaraan undang-undang dalam sistem keadilan di luar benua kecil India. Teks Dharmasastra, khususnya Manusmrti ditulis oleh Manu dihormati di Burma, Siam, Kemboja dan Jawa-Bali (Anthony Reid). Teks ini merupakan dokumen asas bagi undang-undang yang mesti dipatuhi oleh raja-raja. Teks ini disalin, diterjemah ke bahasa tempatan dan dijalinkan sekali dalam undang-undang kerajaan mereka. Burma dan Siam mengikut teks asal manakala di Jawa pula, undang-undang ini digunakan sekali dengan undang-undang tempatan.

Asal-usul terbitnya kerajaan Kemboja juga dikreditkan kepada seorang Brahmin, Kaundinya, yang tiba dari laut lalu mengahwini puteri naga dan berdiam dalam tanah banjir. Kaundinya mengasaskan Kambujadesa, memperkenal tamadun Hindu, dewata Hindu seperti Brahma, Siva dan Harihara. Buah fikiran ini kemudian berkembang di Asia Tenggara pada abad pertama masihi.

Brahmin sudah pun menjadi sebahagian daripada tradisi diraja di Thailand, khususnya dalam pertabalan raja, upacara membuka tali air bagi bendang sawah serta sebagainya di istana. Sebuah kuil Hindu kecil, Devasthan, ditubuhkan oleh raja Rama I pada 1784. Ia diuruskan oleh Brahmin Siam. Kuil tersebut merumahkan Ganesha, Narayana, Siva, Uma, Brahma dan Indra serta dewata Hindu lain. Tradisi ini menunjukkan bahawa Brahmin Siam mempunyai asal-usul dari kota suci Varanasi dan Tamil Nadu. Mereka menggunakan gelaran Pandita dan menjalan pelbagai upacara tahunan serta acara kerajaan yang digabungkan dengan amalan-amalan penganut ajaran Buddha.