Upacara-Upacara

Awal pagi lagi, pura-pura betara Siva akan dipenuhi oleh penganut-penganut baginda. Yang tua dan yang muda, sekelian akan berkunjung bagi melaksanakan pemujaan Sivalinga dan mengharapkan restu dari Tuhan.

Para penganut akan mandi menyucikan diri pada terbit mentari, terutamanya di sungai Ganga atau punca-punca air suci, contohnya seperti di kolam Siva Sagara di Khajuraho. Perkara ini adalah antara yang terpenting dalam keupacaraan orang Hindu. Selepas bersuci, mereka akan memakai pakaian bersih, lalu membawa kendi-kendi ke pura untuk menyucikan Sivalinga. 

Kaum wanita dan lelaki akan memberi sembah pujaan kepada Surya, betara Viu dan betara Śiva. Pura akan bergema dengan dentingan genta dan bacaan Śakar Ji ki Jai yang bermaksud, "Jaya bagi Yang Maha Membahagiakan!". Penganut akan menjalankan pradaksina atau mengelilingi lingam sebanyak tiga kali atau tujuh kali, kemudian mencurahkan air ke atasnya. Ada juga penganut yang mencurahkan susu ke atas lingam. 

Menurut Siva Purana, pemujaan pada Mahā Śivaratri mestilah menggabungkan enam bahan-bahan ini:
  • Menyucikan linga Śiva dengan air, susu dan madu. Daun majapahit mestilah ditambah kepadanya dengan pengertian penyucian jiwa;
  • Serbuk kumkum pula disapukan ke linga tersebut selepas penyucian dijalankan. Serbuk kumkum melambangkan kesopanan dan kebajikan;
  • Sembahan buah-buahan, yang bersesuaian dengan usia yang panjang serta penunaian hajat;
  • Menyalakan colok, melambangkan kemewahan;
  • Menyalakan pelita-pelita yang melambangkan pencapaian ilmu pengetahuan;
  • Daun sirih, melambangkan berpuas hati dan berpada dengan kesenangan duniawi 
Bagi penganut-penganut setia, tripundra bermaksud tiga calitan memanjang abu suci yang dicalitkan di dahi semasa pemujaan. Tripundra melambangkan ilmu rohaniah, kesucian dan amalan yoga demi membersihkan jiwa. Kumkum yang mencancang pula melambangkan mata ketiga betara Siva.  

Penganut juga boleh memakai mala yang diperbuat dari biji rudraksha yang disebut sebagai cetusan dari air mata betara Siva, semasa menjalankan pemujaan betara Siva.  

Jyotirlingam

Di tanah besar benua India, pemujaan boleh dijalankan di 12 buah titik yang disebut sebagai Jyotirlingam. Jyotirlingam ini bermaksud lingam yang muncul dengan sendiri di sesuatu tapak. Maksud sebenarnya adalah "Lambang Siva yang Bersinar Cemerlang."

Dipercayai bahawa baginda betara Siva muncul sebagai Jyotirlinga pada malam Arudra Naksatra, yang menyebabkan tumpuan penyembahan diberikan lebih kepada Jyotirlingam. Rupa lingam ini sebenarnya tidak boleh dibezakan dengan yang lain-lain, namun dipercayai orang yang mencapai tahap rohaniah yang tinggi sebenarnya boleh melihat linga-linga tersebut sebagai jaluran api yang membelah bumi menuju ke langit. 

Titik-titik linga tersebut adalah:
  • Pura Somnath, kota Prabhas Pathan, negeri Gujarat
  • Pura Mallikārjuna Svāmi, kota Srisailam, negeri Andhra Pradesh
  • Pura Mahākaleśvar, kota Ujjain, negeri Madhya Pradesh
  • Pura Okareśvar, kota Omkareśvar, negeri Madhya Pradesh
  • Pura Kedarnath, kota Kedarnath, negeri Uttarakhand
  • Pura Bhimaśankar, kota Bhimaśankar, negeri Maharashtra
  • Pura Kai Viśwanath, kota Varanasi, negeri Uttar Pradesh
  • Pura Trimbakeśvar Śiva, kota Trimbakeśvar, negeri Maharashtra
  • Pura Parli Vaidyanath, kota Parli, negeri Maharashtra
  • Pura Aundha Nagnath, kota Parbhani, negeri Maharashtra
  • Pura Rameśvara, kota Rameśvara, negeri Tamil Nadu
  • Pura Grisnesvar, kota Daulatabad, negeri Maharashtra
Bacaan sloka bagi nama-nama tempat suci ini bolehlah dirujuk dalam Śatarudra Saṁhitā bab ke-42, ayat 2-4 dari Śiva Purana.